Mengenai Kami


SK Taman Klang Utama telah diasaskan pada  1 Julai 1995 dengan nama Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama. Nama sekolah ini diperolehi dari nama taman perumahan di mana lokasi sekolah dibina iaitu Taman Klang Utama. Kawasan sekolah ini terletak dalam pentadbiran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Batu Empat, Mukim Rantau Panjang, Daerah Klang. Pada awalnya sekolah ini mempunyai 2 blok bangunan empat tingkat mengandungi pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik gerakan, bilik SPBT, makmal sains, bilik kokurikulum, bilik akademik, bilik pusat sumber, bilik muzik, bengkel Kemahiran Hidup, bilik klinik, stor sukan, surau dan bilik-bilik darjah . Bangunan kantin merupakan bangunan yang berasingan. 
Bermula pada 1 Januari 1998, dua sesi persekolahan telah diwujudkan. Ini kerana bilangan bilik darjah yang boleh digunakan menjadi kelas telah berkurangan . Kekurangan ini disebabkan tiga bilik darjah di tingkat bawah blok pejabat dijadikan dewan , satu bilik di tingkat 2 dijadikan Bilik Komputer Dalam Pendidikan manakala bilik kokurikulum dijadikan Bilik Sayang iaitu bilik pemulihan khas. 1 Januari 1998 juga   bermulanya sejarah Program Integrasi Pendidikan Khas (Bermasalah Pembelajaran) ( PIPK – BP )  dengan bilangan murid seramai 7 orang murid dengan diajar oleh 2 orang guru terlatih. Pada tahun 2003 bilangan murid PIPK telah meningkat dan terus miningkat pada tahun-tahun seterusnya.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah Encik Md Ariffin B Abu Saman. Beliau bertugas sehingga 31 Oktober 1997 kerana mulai 1 November   1997 beliau ditempatkan ke SK Raja Muda, Shah Alam. Beliau dibantu ole Encik Aziz Bin Nacmat selaku Guru Penolong Kanan 1, Encik Norbit Bin Nordin selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Encik Aziz Bin Sulaiman selaku Guru Penolong Kanan kokurikulum.

Mulai 1 Januari 1998 juga, sekolah ini telah dinaikkan gred menjadi gred A dengan jawatan guru-guru penolong kanan adalah jawatan hakiki DG 5. Bermula 1 Mac 1998, sekolah ini diketua oleh Guru Besar kedua iaitu Encik Sukarman Bin Sudar , manakala Guru Penolong Kanan 1 disandang oleh Pn Hajah Kamidah Mohd Rantam, Guru penolong kanan HEM disandang oleh Encik Nor Azhar Bin Mat Hassan, Guru Penolong Kanan Kokurikulum masih disandang oleh En. Aziz Bin Sulaiman, manakala  Penyelia Petang disandang oleh Puan Khatimah Binti Harawi. 
===============================================


Kemudahan Fizikal Sekolah



Sesebuah sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah institusi mengumpul dan menyimpan bahan serta alat bantuan, tetapi ia juga untuk menjalankan pelbagai kegiatan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  Untuk pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan sempurna, maka kemudahan fizikal telah disediakan berdasarkan kemampuan dan keperluan sekolah.  Ini penting bagi memastikan segala keperluan  pengguna dipenuhi.

Dalam menyediakan kemudahan fizikal, perancangan yang teliti berdasarkan keperluan dan kemampuan sekolah adalah sangat mustahak.  Perancangan telah dibuat mengikut keperluan jangka panjang dan pendek dengan mengambil kira beberapa faktor.

Perancangan itu dapat dilihat dari tiga aspek iaitu
                i     Merancangkan bilik dan bangunan baru yang akan dibina
                ii    Mengubahsuai tempat/ruang yang sedia ada
                iii   Merancang susun letak perabot yang sedia ada

Dalam membuat perancangan untuk menubuhkan sesebuah bangunan atau bilik, pihak sekolah telah mengambil kira akan penggunaan tempat dan keadaan iaitu pencahayaan dan pengudaraan serta suasana yang dikehendaki.  Begitu juga dalam membuat pengubahsuaian atau menyediakan perabot serta susun letaknya supaya dapat menepati fungsi dan objektif sekolah.